KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan dengan Belgium. FOTO EPA
KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan dengan Belgium. FOTO EPA
AFP

Seville: Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata, dia yakin sepenuhnya bahawa juara bertahan itu akan mengatasi pasukan nombor satu dunia, Belgium, pada aksi pusingan kedua Euro 2020.

Pertarungan dua pasukan heavyweight itu akan berlangsung di Seville, esok, dengan Belgium memiliki kelebihan rehat selama 48 jam apabila mudah mengungguli Kumpulan B manakala Portugal layak selaku antara empat pasukan terbaik di tangga ketiga.

"Saya lihat kepada pasukan secara keseluruhan dan kemudian mencari kekurangan lawan. Pasukan seperti Belgium dan Portugal tiada banyak kekurangan," kata Santos menerusi sidang media secara maya, hari ini.

"Kami tahu musuh berkemampuan dan mantap, tetapi saya yakin sepenuhnya bahawa kami lebih baik berbanding mereka."

Portugal menduduki tempat ketiga kumpulan turut dibarisi juara dunia, Perancis dan Jerman, tetapi kapten mereka, Cristiano Ronaldo kini penjaring terbanyak kejohanan apabila menjaringkan lima gol dalam Kumpulan F.

"Kami berada di dalam kumpulan sangat kuat, tetapi kami tahu mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol. Kami perlu terus melakukannya," kata Santos, yang membimbing Portugal muncul juara Euro 2016.

"Apabila melihat kepada pasukan yang memiliki pertahanan kebal dan serangan tajam, Belgium jelas memiliki peluang cerah untuk menang, tetapi kami mahu beraksi segagah mungkin."

Pemain tengah, Joao Moutinho menegaskan ancaman daripada Kevin De Bruyne, apabila bintang Manchester City itu beraksi dalam kesebelasan utama ketika Belgium menang 2-0 ke atas Finland, selepas dia pulih daripada kecederaan muka di final Liga Juara-Juara Eropah.

"Belgium bukan sekadar De Bruyne, walaupun sudah tentu dia pemain menakjubkan. Dia akan lebih bahaya jika diberi ruang dan masa untuk berfikir," kata Moutinho, yang beraksi bersama Wolves di Liga Perdana Inggeris.

"Belgium adalah pasukan cukup kuat. Jika kami berikan mereka terlalu banyak masa dan ruang, mereka akan bermain dengan cara sendiri dan membuatkan tugas kami sukar."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 1:19 AM