RONALDO (kanan) serta barisan pemain Portugal lain berdepan tugas sukar bertemu Perancis. FOTO AFP
RONALDO (kanan) serta barisan pemain Portugal lain berdepan tugas sukar bertemu Perancis. FOTO AFP
AFP

Munich: Jurulatih Portugal, Fernando Santos menegaskan juara bertahan itu masih berpeluang mara ke pusingan kalah mati Euro 2020 di sebalik tewas 2-4 kepada Jerman, hari ini.

Portugal memulakan kempen dengan meyakinkan apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Hungary namun tumbang di tangan Jerman yang mempamer aksi mantap di Munich.

"Jerman lebih baik berbanding kami dan saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Sama ada kami mampu layak atau tidak segala-galanya bergantung kepada kami sendiri," kata Santos.

Aksi Portugal seterusnya adalah bertemu juara dunia, Perancis yang menduduki tangga teratas Kumpulan F selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Jerman dan seri 1-1 dengan Hungary.

"Kami perlu memandang ke depan dan ia pasti perlawanan berbeza menentang Perancis. Tapi menjelang perlawanan terakhir, peluang kami masih cerah," kata Santos.

Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan menerusi satu serangan balas untuk melebarkan rekodnya kepada 12 jaringan di pentas Euro.

"Kami bermula dengan baik, aksi tersusun dan melakukan serangan. Kami melakukan serangan balas pantas yang menghasilkan gol," kata Santos.

Bagaimanapun Jerman memperoleh empat gol selepas itu menerusi Kai Havertz dan Robin Gosens selepas Ruben Dias dan Raphael Guerreiro menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Penyerang Liverpool, Diogo Jota menjaringkan gol kedua untuk Portugal namun sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:15 AM