AKSI Lukaku (tengah) ketika menentang Finland. FOTO EPA
AKSI Lukaku (tengah) ketika menentang Finland. FOTO EPA
Agensi

London: Cristiano Ronaldo hanya dua gol lagi untuk menyamai rekod jaringan terbanyak antarabangsa tetapi terdapat seorang lagi pemain yang mampu mengatasi pencapaiannya.

Selepas meledak 107 gol untuk Portugal, hanya masa menentukan dia memintas legenda Iran, Ali Daei yang mengumpul 109 gol. Ia mungkin berlaku di Euro 2020 dengan Ronaldo mempunyai sekurang-kurangnya baki dua perlawanan.

Walaupun dia yang berusia 36 tahun mampu melakukannya, rekod itu dijangka tidak bertahan lama jika pesaing lebih muda dapat mengekalkan momentum untuk beberapa tahun akan datang.

Romelu Lukaku sudah meledak 63 jaringan dalam 96 perlawanan untuk Belgium menjadikan rekodnya di peringkat antarabangsa lebih prolifik berbanding Ronaldo.

Jumlah gol diraih Lukaku lebih cepat daripada penyerang Portugal itu. Dengan hampir 100 kap, pemain Belgium itu menjaringkan lebih 60 gol tetapi Ronaldo hanya meledak 40 gol dalam jumlah perlawanan sama.

Ronaldo tujuh tahun lebih tua daripada Lukaku. Jika bintang Belgium itu mampu mengekalkan konsistensi di depan gol lawan, rekod milik Ronaldo tidak akan bertahan lama.

Bagaimanapun, untuk sampai ke tahap itu tidak mudah. Ronaldo melakukannya dalam tempoh lebih sedekad dan Lukaku yang cemerlang sejak beberapa musim lalu perlu menandingi ketahanan fizikal bintang Juventus itu.

Sebelum ini ramai memikirkan siapa pemain bertaraf 'superstar' selepas Lionel Messi dan Ronalo tetapi Lukaku mengingatkan kepada dunia sejarah tidak akan terhenti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:55 AM