Dharma Harun bersama anaknya.
Dharma Harun bersama anaknya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Tidak menolak peluang sekiranya diberi peluang menetap di kediaman projek perumahan rakyat (PPR), namun pelakon Dharma Harun Al-Rashid, 68, dan anak-anaknya belum bercadang berpindah dari tempat tinggal mereka sekarang di Wangsa Maju.

Bintang era 1980-an yang popular dengan watak Cikgu Azmi itu berkata, perbincangan dalam keluarga juga sudah dibuat dan mereka mencapai kata sepakat akan menetap di kediaman sekarang, selagi mampu membayar sewa.

"Buat masa ini, segala hutang bayaran sewa rumah yang tertunggak sudah pun dilunaskan kepada pemilik. Jadi, Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan wang bantuan diterima itu.

"Saya tidak bertangguh lama untuk buat bayaran kepada pemilik rumah dan kami juga masih dibenarkan terus menyewa di kediaman ini. Cuma, bukan kami (sekeluarga) tidak mahu berpindah, tapi kena fikir kewangan juga.

"Kalau nak pindah pun, nak duit juga. Keluar rumah pun nak kena 'packing' (barang-barang) dan dalam keadaan saya sekarang ini yang kurang sihat sebab demam teruk sejak tiga hari lalu, kenalah berehat," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai perkembangan pertemuan bersama Pusat Zakat, Dharma berkata, dia belum lagi berkesempatan menghubungi pihak terbabit kerana mahu pulih daripada sakit terlebih dulu sebelum buat perbincangan semula.

"Tengoklah macam mana, selepas sihat mungkin saya akan pergi berjumpa dengan pihak berkenaan (Pusat Zakat). Sekarang, saya demam lagi sebab rasanya kurang rehat. Sejak seminggu dua ini, saya memang terlalu sibuk dan banyak urusan nak kena buat.

"Orang pun ramai yang nak berjumpa dengan saya sebab nak hulur bantuan. Apapun, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan prihatin dengan keadaan saya sekeluarga alami," katanya.

Baru-baru ini, Dharma yang pernah popular dengan filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila berhadapan masalah kewangan apabila gagal membayar sewa rumah tertunggak sebanyak RM7,500.

Malah, Dharma dan keluarganya juga difahamkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju sehingga hujung Jun ini daripada pemilik.

Bagaimanapun, dua anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, tidak bekerja kerana masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sejak kisah masalah kewangan dihadapi itu tular, Dharma menjadi perhatian ramai termasuk beberapa pihak seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Pusat Zakat dan Yayasan Budi tampil membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 4:49 PM