ANIQ bakal buat penampilan kali pertama di Olimpik Paris. FOTO AGENSI
ANIQ bakal buat penampilan kali pertama di Olimpik Paris. FOTO AGENSI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) optimis Mohamad Aniq Kasdan mampu memberi kejutan di Olimpik Paris nanti yang akan membuka tirai bermula 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, Aniq yang akan beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) ketika ini melakukan persiapan rapi seperti dirancang bagi mendapatkan prestasi terbaik di temasya terbesar dunia itu nanti.

Tambahnya, atlet kelahiran kelahiran Johor itu juga akan melakukan pecutan terakhir di Eropah bagi mendapatkan momentum terbaik dan akan di bawa ke Paris sekali gus memberi cabaran utama kepada peserta lain.

"Sekarang ini Aniq berada di Rompin, Pahang dalam proses untuk latihan secara tersusun dan juga kita mengharapkan dia akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk angkatan dia. Insya-Allah, dua minggu sebelum kejohanan (Olimpik Paris), dia akan berlatih ke Turkiye untuk mendapatkan kesesuaian dan sebagainya.

"Saya yakin jikalau ada semangat yang kuat dalam diri Aniq, saya pasti Aniq boleh berikan sesuatu kejutan di Sukan Olimpik Paris. Kita minta semua pihak mendoakan kejayaan Aniq di sana nanti," katanya ketika dihuhungi Arena Metro.

Selain itu, Aniq adalah pemegang rekod kebangsaan dengan angkatan seberat 296kg, iaitu 126kg bagi snatch dan 170kg bagi clean and jerk.

Jika melihat rekod yang dilakukan di Olimpik pada 2020 dan Kejohanan Dunia terakhir di Phuket, Thailand, April lalu, atlet berusia 22 tahun itu perlu melakukan angkatan 300kg ke atas bagi mencerahkan dirinya berada dalam kedudukan podium.

Untuk rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio de Janeiro 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 4:47 PM