PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez dikepung kapten Nagoya Grampus, Takuji Yonemoto  (kanan) dan Hiroyuki Abe (kiri) pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi.  Foto Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez dikepung kapten Nagoya Grampus, Takuji Yonemoto (kanan) dan Hiroyuki Abe (kiri) pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi. Foto Ihsan Johor Southern Tigers
Syazwan Msar dan Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun perit untuk ditelan tatkala tewas berpunca daripada gol kontroversi, pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora enggan melatah dengan keputusan pengadil perlawanan yang dianggap tidak masuk akal pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam kelmarin.

Bagi Mora, apa yang dipamerkan barisan pemain ketika beraksi menentang Nagoya Grampus dari Jepun itu mengikut perancangan taktikal tapi terpaksa menerima keputusan pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) membenarkan jaringan Hiroyuki Abe.

"Apa yang dipamerkan barisan pemain JDT jelas menunjukkan semangat melawan biarpun sedar reputasi Nagoya Grampus yang dibarisi pemain berkualiti namun pemain saya ketepikan semua itu dan memberi saingan hebat.

"Intensiti dan tempo perlawanan juga tinggi dengan kedua-dua pasukan mengasak ke kubu masing-masing malah kami juga ada dua peluang terbaik menjaringkan pada babak pertama menerusi bola rembatan Bergson (Da Silva) dan Ariff Aiman (Hanafi).

"Pemain JDT juga tidak menyerah walaupun ketinggalan namun mereka beri tentangan sengit sehingga minit akhir perlawanan. Biarpun gol Bergson dibatalkan tapi itu bukan pengakhiran sebaliknya ia permulaan untuk kami teruskan perjuangan," katanya.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 melenyapkan hasrat skuad Harimau Selatan melakar keputusan seri tatkala anak didik Mora hilang tumpuan selepas menyangka Ryogo Yamasaki berada di kedudukan ofsaid.

Walaupun JDT bangkit menyamakan jaringan pada minit akhir perlawanan selepas Bergson menanduk bola menewaskan penjaga gol, Mitchell Langerak namun pengadil, Mohammed Abdulla Hassan membatalkan jaringan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu berkata, tidak timbul soal berat sebelah atau pengadil membuat keputusan salah.

Beliau berkata, jelas sekali pemain Nagoya tidak berada di kedudukan ofsaid berikutan terdapat pemain JDT berhampirannya ketika dia menyumbat gol berkenaan.

"Saya sendiri sudah melihat perlawanan terbabit dan ulang tayang sekali menyaksikan pengadil membuat keputusan tepat tanpa sebarang keraguan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:31 AM