DE Paula (kanan) mengasak pemain Pohang, Kwon Wan-kyu. FOTO AFP
DE Paula (kanan) mengasak pemain Pohang, Kwon Wan-kyu. FOTO AFP
Rizar Mohd Noor


Johor Bharu: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus kecewa selepas tewas 0-2 kepada Pohang Steelers pada aksi pusingan kedua saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, petang tadi.

Kekalahan kali kedua berturut-turut kepada kelab dari Korea Selatan itu menyulitkan laluan Harimau Selatan untuk layak ke pusingan 16 terakhir dan perlu menang ke atas Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC bagi mendapatkan talian hayat sekiranya ingin mara.

Walaupun pengendali JDT, Benjamin Mora membuat rombakan di benteng pertahanan selepas menyenaraikan Aidil Zafuan Abd Radzak bagi menggantikan Mauricio Dos Santos namun gagal menghalang kelab dari Korea Selatan merobek gawang menerusi dua gol pada babak pertama.

PEMAIN Pohang Steelers meraikan jaringan. FOTO AFP
PEMAIN Pohang Steelers meraikan jaringan. FOTO AFP

Safawi Rasid yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-16 selepas sepakan percumanya dari luar kotak penalti terkena tiang gol.

Namun JDT ketinggalan pada minit ke-33 selepas Goh Young-jun melorongkan bola kepada Lee Seung-mo yang tidak dikawal dengan mudah merembat tepat ke penjuru kiri menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pohang Steelers menambah derita JDT empat minit kemudian apabila kapten Kang Sang-woo yang mendapat hantaran daripada Boris Tashti mudah melepasi perangkap ofsaid dan menewaskan Farizal.

Aksi babak kedua menyaksikan anak didik Mora bagaikan buntu untuk mencipta serangan berbahaya walaupun membawa masuk Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh bagi menguatkan jentera serangan. Sebaliknya, kelebihan 2-0 memihak skuad kendalian Kim Gi-dong kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 8:16 PM