AKSI Ramadan (kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
AKSI Ramadan (kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Perjuangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) berakhir selepas tewas kepada Nagoya Grampus 1-2 pada aksi kelima pusingan kedua Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Walaupun tewas dan tersingkir daripada merebut slot ke pusingan 16, skuad kendalian Benjamin Mora harus bangga dengan persembahan yang dipamerkan selepas mengundang kesukaran buat anak didik Massimo Ficcadenti melakar kemenangan.

Pada pertembungan itu, Mora mempertaruhkan Ahmad Hazwan Bakri dan penjaga gol, Haziq Nadzli buat pertama kali beraksi dalam saingan ACL sambil meletak Syamer Kutty Abba bergandingan bersama Leandro Velazquez Nazmi Faiz Mansor mengemudi di posisi tengah.

Belum pun anak didik Mora dapat menyesuaikan diri, Nogaya Grampus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ketiga selepas Adam Nor Azlin menjatuhkan Mateus Castro dan pengadil dari Iran, Alireza Faghani tidak teragak menghadiahkan sepakan penalti.

Matues yang mengambil sepakan itu merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri dan berjaya memperdaya penjaga gol, Haziq Nadzli yang merebah badan di sebelah kanan.

Anak diri Mora yang tersentap dengan gol awal itu mula melancar serangan ke kubu Nagoya Grampus tapi belum mampu untuk memecah kekebalan benteng pasukan itu yang begitu ampuh menghalang gerakan berbahaya skuad Harimau Selatan.

Kelekaan benteng pertahanan di posisi Corbin Ong dihukum Hiroyuki Abe pada minit ke-28 selepas dia bijak merembat bola lencong tepat ke penjuru kanan menewaskan Haziq yang gagal untuk menepis bola keluar.

Percubaan terbaik JDT hadir pada minit ke-38 selepas Velazquez yang menerima bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman pantas merembat bola dari luar kotak penalti tapi penjaga gol, Mitchell Langerik bingkas menepis bola

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan pada babak pertama, gawang Nagoya Grampus yang kebal sejak empat aksi lalu dalam kempen kumpulan tanpas bolos akhirnya berjaya dirobek selepas Ramadan Saifullah bijak menyudah bola tampanan Langerik yang terlebih dahulu menampan bola rembatan deras Corbin dari jarak 30 meter.

Bersambung babak kedua, JDT hampir menyamakan jaringan pada minit ke-61 selepas Adam melorongkan bola tepat kepada Velazquez yang bertindak merembat bola kencang tapi palang menjadi penghalang ketika Langerik sudah tertewas.

JDT tidak mengendahkan reputasi Nagoya Grampus, sebaliknya berusaha memburu gol penyamaan namun percubaan terakhir Velazquez menerusi bola sepakan percuma pada minit akhir sekadar terkena benteng lawan dan kedudukan 1-2 yang memihak anak didik Ficcadenti kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 11:59 PM