Pemain Nagoya Grampus meraikan jaringan Hiroyuki Abe ketika berdepan JDT. FOTO Nagoya Grampus
Pemain Nagoya Grampus meraikan jaringan Hiroyuki Abe ketika berdepan JDT. FOTO Nagoya Grampus
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ofsaid atau tidak? Persoalan itu timbul di kalangan penyokong bola sepak tempatan berhubung kekalahan tipis Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-1 hasil gol kontroversi yang diraih Nagoya Grampus pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi.

Perlawanan malam tadi menimbulkan keraguan membabitkan beberapa keputusan pengadil terutamanya membabitkan gol tunggal berikutan kedudukan pemain Nagoya Grampus, Ryogo Yamasaki dikatakan berada dalam posisi ofsaid.

Malah, lebih memburukkan keadaan perlawanan itu tidak menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) sekali gus JDT kempunan untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John ketika diminta mengulas mengenai perlawanan berkenaan berkata, tidak timbul soal berat sebelah atau pengadil membuat keputusan salah.

Beliau berkata, jelas sekali pemain Nagoya tidak berada di kedudukan ofsaid berikutan terdapat pemain JDT berhampirannya ketika dia menyumbat gol berkenaan.

"Saya sendiri sudah melihat perlawanan terbabit dan ulang tayang sekali lagi menyaksikan pengadil berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohamed Abdulla Hassan membuat keputusan yang tepat tanpa sebarang keraguan.

"Malah, tandukan penyerang JDT Bergson De Silva pada minit terakhir tidak dikira kerana jelas menyaksikan pemain itu menolak pertahanan lawan untuk menyumbat gol," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan itu menyaksikan Nagoya Grampus berjaya memperoleh tiga mata penting selepas menewaskan JDT menerusi gol kontroversi yang dijaringkan Hiroyuki Abe pada minit 61.

Sementara itu, Windsor berkata penggunaan VAR dalam kejohanan berkenaan hanya akan digunakan pada peringkat kelompok lapan pasukan terbaik.

"Penggunaan VAR daripada peringkat suku akhir dan sudah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa AFC," jelasnya.

Untuk rekod, secara asasnya, VAR digunakan untuk empat perkara membabitkan jaringan gol, sepakan penalti, kad merah, dan untuk memastikan pengadil tidak keliru dengan identiti pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:52 PM