PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Ratchaburi,  Sebastien Wuthrich pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Ratchaburi, Sebastien Wuthrich pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Bangkok: Pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Leandro Velazques muncul wira pasukan itu selepas gol tunggal di awal babak kedua memastikan kemenangan 1-0 ke atas Ratchaburi FC pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini.

Kemenangan itu melonjakkan skuad Harimau Selatan ke tangga kedua kumpulan selepas mengumpul tiga mata manakala Nagoya Grampus naik ke tangga teratas selepas menang 3-0 ke atas Pohang Steelers.

Pada pertembungan dua wakil kelab Asean dalam kancah ACL, pengendali JDT, Benjamin Mora membuat rombakan taktikal kesebelasan utama apabila menyenaraikan Safiq Rahim di tengah selain Akhyar Rashid di sayap kiri manakala Safawi Rasid direhatkan.

Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengambil posisi beg kiri menggantikan Corbin Ong yang cedera pada ketika pengendali Mexico itu melakukan formasi 4-1-4-1.

Percaturan itu hampir berhasil pada minit ke-10 selepas sepakan lintang Matthew Davies ditanduk Safiq yang tidak dikawal, namun bola sipi gol ketika penjaga gol, Kampon Phatomakkukul sudah tertewas.

Ketika aksi memasuki minit ke-18, berpunca daripada bola umpanan Ariff Aiman Hanapi, Bergson Da Silva hampir memecah kebuntuan, namun rembatan kencang dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol.

Asakan berterusan skuad Harimau Selatan ke kubu Ratchaburi FC menyaksikan Pawee Tanthatemee terpaksa menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti pada minit ke-27 dan pengadil dari Iran, Alireza Faghani tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Namun nasib tidak menyebelahi Bergson selepas bola sepakan penalti diselamatkan Kampon yang merebahkan badan di sebelah kanan gawang dan JDT terlepas untuk mendahului.

Sebaik babak kedua bermula, Kampon akhirnya tertewas apabila Velazquez sempat memusingkan badan dan melepaskan rembatan tepat ke penjuru kanan gol pada minit ke-47 berpunca daripada umpanan Safiq di dalam kotak penalti, untuk membolehkan JDT mendahului 1-0 yang kekal sehingga wisel penamat.

Dalam pada itu, Nagoya Grampus merampas kedudukan teratas kumpulan itu daripada Pohang Steelers selepas menewaskan kelab dari Korea Selatan itu, 3-0, untuk mengumpul enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:04 AM