LEANDRO  Velazquez meledak rembatan ke gawang Nagoya. FOTO AFP
LEANDRO Velazquez meledak rembatan ke gawang Nagoya. FOTO AFP
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kesungguhan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki semangat melawan selepas tewas tipis 1-2 kepada Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadiun Rajamangala, Bangkok semalam mendapat pujian pengendali, Benjamin Mora.

Malah beliau kagum dengan semangat juang tinggi pemain selepas mampu mengimbangi kekuatan kelab dari Jepun itu yang kini berada di tangga keempat Liga Satu Jepun (J1 League) apabila pasukan itu berdepan kesukaran menembusi benteng JDT dan hanya mampu mencipta dua gol pada babak pertama sahaja.

"Semangat juang pemain begitu tinggi dalam perlawanan itu dan ia membanggakan saya. Walaupun kami ketinggalan 0-2 namun pemain tidak panik dan berusaha bangkit dengan mengawal perlawanan dan cuba memburu gol.

"Kami lakukan rombakan kecil terhadap pemain utama supaya mereka pulih daripada kepenatan untuk aksi terakhir berdepan Ratchaburi FC dan apa yang banggakan pemain yang diturunkan menunjukkan persembahan terbaik pada aksi menentang kelab dari Jepun itu.

"Mereka beri yang terbaik apabila kerap berlari sambil mengawal perlawanan dan kerap beri tekanan terhadap lawan yang tampak tidak senang duduk untuk mengekang asakan pemain JDT malah kami agak kecewa selepas dua percubaan yang mampu menghadirkan gol sekadar singgah di palang gol," katanya.

Mora menganggap keupayaan pemain JDT mengawal permainan dalam tempoh 45 minit dan 50 minit perlawanan tatkala menentang kelab yang bereputasi tinggi merupakan pencapaian terbaik buat skuad Harimau Selatan.

Beliau menambah, persembahan yang dipamerkan itu nyata menguatkan lagi mental pemain untuk berdepan Ratchaburi FC pada aksi terakhir Rabu ini dan sememangnya sasaran utama pasti mahu tiga mata dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 10:41 AM