NEYMAR (kiri) cuba melepasi halangan pemain Paraguay, Angel Cardozo Lucena. FOTO EPA
NEYMAR (kiri) cuba melepasi halangan pemain Paraguay, Angel Cardozo Lucena. FOTO EPA
AFP

Montevideo: Neymar meledak satu gol untuk membolehkan Brazil kekal dengan permulaan sempurna kelayakan Piala Dunia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Paraguay.

Pemain gantian Lucas Paqueta mengesahkan kemenangan hasil jaringan di masa kecederaan di Asuncion sekali gus membolehkan Brazil mendahului dengan kelebihan enam mata di tangga teratas kumpulan kelayakan Amerika Selatan selepas meraih enam kemenangan daripada enam perlawanan.

Brazil tidak menunggu lama untuk memperoleh jaringan kurang daripada empat minit perlawanan berlangsung apabila hantaran lintang Gabriel Jesus disempurnakan Neymar bagi menumpaskan penjaga gol, Antony Silva.

Paraguay bermula garang pada separuh masa kedua namun tandukan Gustavo Gomez berjaya diselamatkan Ederson.

Marquinhos juga sepatutnya menggandakan jaringan pelawat namun tandukannya tersasar selepas menerima hantaran lintang Neymar.

Brazil memperoleh peluang untuk terus mengesahkan kemenangan namun percubaan Neymar tersasar dan Gomez pula bertindak cemerlang menafikan rembatan Richarlison.

Bagaimanapun, pada masa kecederaan Neymar berjaya melakukan hantaran menemui Paqueta yang melepaskan rembatan leret kaki kiri dari dalam petak penalti.

Di Caracas, Venezuela berjaya mengikat Uruguay 0-0 untuk kekal berada di atas Peru dengan perbezaan jaringan, manakala pasukan pelawat berjaya mengukuhkan kedudukan di kelompok empat terbaik yang menawarkan slot automatik kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 12:43 PM