Coutinho (kiri) mengasak pemain Korea Selatan pada aksi persahabatan. FOTO Agensi
Coutinho (kiri) mengasak pemain Korea Selatan pada aksi persahabatan. FOTO Agensi
Agensi

BRAZIL menamatkan rekod lima perlawanan tanpa kemenangan apabila mencatat kemenangan selesa ke atas Korea Selatan, 3-0 di Abu Dhabi, malam tadi.

Barisan kendalian Tite, yang tewas kepada Argentina pada Jumaat, tidak mencatat kemenangan sejak menjuarai Copa America pada Julai lalu.

Begitupun, tandukan awal Lucas Paqueta dan sepakan bebas menarik oleh Philippe Coutinho meletakkan juara Piala Dunia sebanyak lima menguasai permainan sebelum waktu rehat.

Pemain pertahanan Juventus, Danilo melengkapkan jaringan menerusi rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti.

Penjaga gol Liverpool, Alisson dan rakan sepasukannya Fabinho kedua-duanya tampil buat Selecao dengan pemain Everton, Richarlison dan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus turut berada dalam kesebelasan utama.

Tite memberi penghargaan kepada pemain Liga Perdana Inggeris dengan pengenalan lewat buat perancang tengah Aston Villa, Douglas Luiz dan penyerang Liverpool, Roberto Firmino.

Sementara penyerang muda Real Madrid, Rodrygo turut dibawa masuk pada penghujung aksi.

Keputusan perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa

Jepun 1 Venezuela 4

Brazil 3 Korea Selatan 0

Arab Saudi 0 Paraguay 0

Montenegro 2 Belarus 0

Croatia 2 Georgia 1

*sumber Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:49 AM