MIRANDA (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Argentina di Jeddah. FOTO AFP
MIRANDA (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Argentina di Jeddah. FOTO AFP
AFP

JEDDAH: Brazil mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Argentina menerusi tandukan Miranda pada masa kecederaan dalam aksi persahabatan di Jeddah, Arab Saudi, semalam.

Pemain pertahanan tengah Inter Milan itu menjaringkan gol selepas menerima bola hasil sepakan sudut disempurnakan Neymar pada minit ke-93 ketika perlawanan antara dua gergasi Amerika Selatan itu seakan berkesudahan tanpa jaringan.

Ketangkasan pertahanan Argentina menyebabkan Brazil terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama untuk mencari gol kemenangan.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, Miranda yang menghabiskan masa bermain di Perancis dan Sepanyol berkata, dia masih jauh untuk bersara dan mahu terus menyarung jersi kuning Brazil.

"Saya mungkin sudah berusia tetapi fizikal saya masih berada pada tahap terbaik dan sudah tentu mahu terus bermain untuk pasukan kebangsaan. Masih banyak yang mahu saya tonjolkan dengan memakai jersi ini," katanya.

Brazil meningkatkan serangan pada babak akhir perlawanan dan Neymar hampir menjaringkan gol beberapa minit sebelum Miranda meledak gol dramatiknya.

Casemiro juga hampir menjaringkan selepas melakukan rembatan bebas dari jarak 25 kaki hasil gerakan yang diilhamkan Neymar namun tersasar di sebelah kiri gawang yang dikawal Sergio Romero.

Peluang terbaik Argentina pula hadir ketika perlawanan memasuki tempoh hampir sejam, apabila Leandro Paredes melepaskan rembatan sehingga memaksa penjaga gol Brazil, Alisson melayangkan badan untuk menyelamatkan bola daripada menerjah gawangnya.

Brazil dibarisi ramai nama besar yang bermain dengan pasukan ternama termasuk bintang Manchester City, Gabriel Jesus, pemain Barcelona, Philippe Coutinho, dan Roberto Firmino (Liverpool) bersama Neymar di bahagian serangan. Argentina pula beraksi tanpa beberapa pemain utama termasuk Lionel Messi, bintang Manchester City, Sergio Aguero, pemain sayap Paris Saint-Germain, Angel Di Maria dan penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain.

Messi tidak beraksi dalam empat perlawanan terakhir Argentina sejak kempen mengecewakan Piala Dunia di Russia. Dia minta dikecualikan dari tugasan antarabangsa menjelang Copa Amerika di Brazil tahun depan.

Perlawanan di Jeddah itu adalah yang ke-105 membabitkan dua seteru utama itu dengan Brazil menang 41 dan 26 kali seri.

Perlawanan terakhir mereka ialah pada Jun 2017 di Australia dalam aksi persahabatan dengan Argentina menang 1-0 tetapi Brazil menang 3-0 dalam aksi kompetitif iaitu kelayakan Piala Dunia pada November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 8:37 AM