RICHARLISON  (tengah) diasak dua pemain Panama di Stadium Dragao. - FOTO AFP
RICHARLISON (tengah) diasak dua pemain Panama di Stadium Dragao. - FOTO AFP
AFP

SKUAD Brazil hanya mampu seri 1-1 menentang Panama dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Dragao, awal pagi tadi.

Pemain AC Milan, Lucas Paqueta menjaringkan gol pertama antarabangsanya pada minit ke-32 sebelum kapten Panama, Adolfo Machado menyamakan kedudukan pada minit ke-76 buat skuad yang menduduki ranking ke-76 dunia itu.

Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar tidak beraksi kerana belum pulih daripada kecederaan kaki kanan dan menyaksikan perlawanan di tempat duduk penonton.

“Prestasi kami tidak membanggakan tetapi bukanlah teruk sangat.

"Kami akan membuat pemilihan pemain lebih tepat untuk lebih berkesan ketika kejohanan Copa America nanti,” kata jurulatih Brazil, Tite sejurus tamat perlawanan.

Selepas kedudukan terikat, babak kedua menyaksikan deretan cubaan pemain Brazil gagal menemui sasaran dengan sepakan percuma Erick Davis gagal disudahkan Ederson dalam kotak penalti.

Penyerang Everton, Richarlison hampir menambah jaringan lima minit babak kedua bermula namun rembatannya terkena palang.

Casemiro juga terlepas dua peluang membantu skuad Tite memenangi aksi pemanas badan berkenaan menerusi tandukan dan rembatan kencang yang tersasar.

Pada babak kedua itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan kerap menukar pemain masing-masing dengan Eder Militao hampir mencipta jaringan minit akhir namun tandukannya juga tersasar.

Brazil akan berdepan Republik Czech pada Selasa ini sebagai persiapan ke kejohanan Copa America yang bermula pada 14 Jun depan.  Agensi 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 8:42 AM