Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) melepasi pemain Sevilla pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) melepasi pemain Sevilla pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Dortmund, Jerman: Erling Braut Haaland meledak dua gol ketika Borussia Dortmund bertahan dengan kebangkitan Sevilla untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi agregat 5-4 selepas terikat 2-2, pagi ini.

Haaland turut menjaringkan dua gol ketika Dortmund menang 3-2 pada perlawanan pertama, meledak gol pembukaan pada babak pertama dan penalti selepas rehat di Signal Iduna Park.

"Ia perlawanan sukar – saya keletihan tetapi untuk berada di pusingan seterusnya adalah sesuatu yang bagus," kata Haaland kepada Sky.

"Ia perlawanan yang gila, kemenangan yang menakjubkan."

Penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri menjaringkan penalti pada minit ke-69 dan gol penyamaan pada penghujung perlawanan namun Dortmund berjaya bertahan sehingga aksi berakhir.

"Kami tidak gembira dengan keputusan itu. Sebenarnya kami tidak bernasib baik – mereka ada satu peluang dan mereka menjaringkan gol," kata En-Nesyri kepada Movistar.

"Kami berjuang hingga minit terakhir permainan."

Pemain terbaik perlawanan itu, Haaland kini bergelar penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol daripada enam perlawanan.

Pemain berusia 20 tahun itu adalah pemain termuda menjaringkan 20 gol dalam UCL dalam hanya 14 perlawanan, memecahkan rekod dicipta Kylian Mbappe.

"Kami dihukum oleh (Haaland) yang mencipta sensasi dalam era ini," kata jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui.

Selepas mereka tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir bertemu pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 8:15 AM