WALKER dan rakan sepasukan meraikan kemenangan City selepas tamat perlawanan menentang Sevilla. FOTO AFP
WALKER dan rakan sepasukan meraikan kemenangan City selepas tamat perlawanan menentang Sevilla. FOTO AFP
AFP

Piraeus, Greece: Manchester City menjuarai Piala Super Uefa buat kali pertama tetapi memerlukan penalti untuk menewaskan Sevilla selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 di Athens awal pagi tadi.

Tandukan Youssef En-Nesyri minit ke-25 meletakkan kelab Sepanyol di depan tetapi juara Eropah City yang tidak berada pada tahap terbaik memaksa perlawanan ke penentuan penalti selepas tandukan Cole Palmer menyamakan kedudukan minit ke-63.

City kemudiannya menyempurnakan kesemua penalti untuk kemenangan 5-4 selepas rembatan pertahanan Sevilla Nemanja Gudelj terkena palang.

Perlawanan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan di Stadium Georgios Karaiskakis dengan Sevilla lebih berbahaya apabila kerap mengancam pertahanan City.

Sevilla menyukarkan pemenang Liga Juara-Juara musim lalu itu menerusi tempo permainan tinggi dan agresif namun En-Nesyri melepaskan beberapa peluang terbaik sebelum menjaringkan gol hasil serangan balas pantas.

Hantaran cantik Marcos Acuna daripada sebelah kiri tepat menuju penyerang Maghribi itu yang melompat tinggi mengatasi Nathan Ake dan Josko Gvardiol sebelum menanduk kencang bola melepasi jangkauan penjaga gol Ederson.

Erik Lamela turut terlepas peluang untuk Sevilla sebelum City mula menguasai perlawanan menuju penamat babak pertama menyaksikan Erling Haaland dan Mateo Kovacic gagal memanfaatkan hantaran Phil Foden dan Jack Grealish.

Sevilla memulakan babak pertama dengan lebih garang tetapi En- Nesyri gagal menjarakkan kedudukan susulan serangan balas pantas dimulakan Lucas Ocampos.

Penyerang Maghribi itu melepaskan satu lagi peluang terbaik sebelum hantaran Rodri disudahkan dengan cemerlang oleh Palmer menerusi tandukan yang memperdayakan penjaga gol Yassine Bounou.

Nathan Ake hampir menjaringkan gol kemenangan City pada masa tambahan tetapi tandukan jarak dekatnya diselamatkan Bounou yang hampir menyelamatkan sepakan Kyle Walker ketika penentuan penalti sebelum rembatan Gudelj terkena palang.

"Perlawanan yang sukar tetapi kami mempamerkan aksi bersemangat tinggi. Kami perlu lebih klinikal tetapi kami berjaya sempurnakan tugas," kata kapten City Walker kepada TNT Sports.

"Jika sesiapa beraksi dengan saya, mereka tahu saya tak suka mengambil penalti kerana saya tak rela hampakan pasukan dan penyokong jika saya gagal.

"Namun Pep menyenaraikan saya dan saya perlu tunjukkan kepimpinan. Mujur sepakan saya masuk dan ia penalti penting."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:20 AM