YOUSSEF En-Nesyri (kanan) meraikan jaringannya.  FOTO AFP
YOUSSEF En-Nesyri (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

SEVILLA semakin hampir mengesahkan tempat ke kempen kelayakan Liga Juara-Juara selepas menewaskan pasukan sedang bergelut di zon penyingkiran, Real Mallorca hari ini.

Lucas Ocampos menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum Youssef En-Nesyri menambah gol kedua minit ke-84 sekali gus mengatasi pasukan tangga kelima, Villarreal dengan sembilan mata.

Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, Villarreal secara matematik masih belum terkeluar daripada persaingan merebut tempat ke Liga Juara-Juara namun mereka perlu meraih mata maksimum dan mengharapkan Sevilla tewas baki perlawanan mereka.

"Kelayakan Liga Juara-Juara adalah objektif utama. Kami semakin menghampirinya dan kini tinggal beberapa langkah kecil untuk memenuhi impian itu," kata pemain Sevilla, Fernando Reges.

Menamatkan saingan di kedudukan keempat pastinya satu pencapaian menakjubkan untuk Sevilla dan jurulatih, Julen Lopetegui yang mengambil alih pasukan tahun lalu selepas melalui mimpi ngeri ketika membimbing skuad kebangsaan Sepanyol dan Real Madrid.

Sevilla juga berpeluang menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga selepas berkongsi mata bersama Atletico Madrid.

Sementara itu kekalahan menyaksikan Real Mallorca semakin hampir untuk tersingkir.

"Kami tahu jika meraih kemenangan ia akan menghidupkan peluang kami. Tapi kami gagal melakukannya namun ia tidak mematahkan semangat pasukan," kata pemain Mallorca, Antonio Raillo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 8:06 AM