Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) dicabar pemain Sevilla pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) dicabar pemain Sevilla pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Seville, Sepanyol: Erling Braut Haaland mempamerkan sentuhan pemusnah dalam babak pertama ketika Borussia Dortmund bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sevilla 3-2 pada perlawanan pertama aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara, pagi ini.

Jaringan terbias yang dilakukan Suso memberikan gol pendahuluan buat juara Liga Europa musim lalu pada aksi tertutup di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Tetapi Mahmoud Dahoud kemudian menyamakan jaringan sebelum Haaland meledak dua gol.

Sensasi dari Norway itu meletakkan Dortmund di depan pada minit ke-27 dan melakukan jaringan sekali lagi dua minit sebelum tamat babak pertama, gol itu adalah yang ke-25 buatnya dalam 24 penampilan musim ini dalam semua kejohanan.

Dia yang masih baharu berusia 20 tahun, sudah menjaringkan 18 gol dalam 13 penampilan di Liga Juara-Juara sejak bermula musim lalu.

Pemain gantian Luuk de Jong merapatkan jaringan pada lewat permainan memberi sedikit harapan kepada Sevilla untuk aksi timbal balik pada 9 Mac, tetapi Dortmund kekal sebagai pilihan untuk mara ke suku akhir.

"Kami tidak berhak untuk kalah, tetapi pada akhirnya mereka mempunyai salah seorang penyerang terbaik di dunia dan dia melakukan perbezaan dalam tiga situasi yang mungkin boleh dielakkan," kata jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 7:54 AM