Aksi Bayern Munich berdepan Salzburg pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Aksi Bayern Munich berdepan Salzburg pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Paris: Selepas saingan sengit peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, himpunan skuad gergasi Eropah akan diundi bagi peringkat kalah mati di Switzerland esok.

Daripada keseluruhan 16 pasukan yang akan diletakkan dalam dua balang di ibu pejabat UEFA dekat Nyon untuk undian pada malam esok, masing-masing empat daripadanya adalah dari Jerman dan Sepanyol.

Sementara tiga wakil Itali dan England dengan juara dua kali, Porto dan finalis musim lalu, Paris Saint-Germain melengkapkan senarai.

Penyandang juara, Bayern Munich berada antara lapan pasukan pilihan bersama Borussia Dortmund, Juventus, Chelsea, Liverpool, Manchester City, PSG dan Real Madrid.

Pada satu lagi balang pula menyaksikan Porto, Atalanta, Lazio, Sevilla, Barcelona, Atletico Madrid, RB Leipzig dan Borussia Moenchengladbach.

Bayern merangkul kejuaraan tahun lalu dengan menang semua 11 perlawanan.

Mereka menang empat perlawanan pertama peringkat kumpulan musim ini sebelum seri 1-1 berdepan Atletico Madrid.

Ia menyebabkan kedua-dua kelab terikat dengan jumlah kemenangan berturut-turut terbanyak dalam satu kejohanan Eropah dengan Atletico menang 15 berturut-turut pada saingan Liga Europa dari 2011 hingga musim luruh 2012.

Ketika Bayern, sama seperti Chelsea dan Manchester City mara ke kedudukan teratas kumpulan dengan mudah, kelab lain berdepan halangan berliku.

Beberapa kelab bergelut mencari identiti untuk menyamai Bayern.

"Impian kami, perlu mencari identiti yang betul secepat mungkin, jiwa yang sangat jelas, kerana tanpa jiwa anda tidak mampu menang," kata penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, 42.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 11:42 AM