PENYERANG Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema (kanan) dan penyerang Barcelona, Alexia Putellas dipilih Pemain Terbaik Tahunan UEFA. FOTO EPA
PENYERANG Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema (kanan) dan penyerang Barcelona, Alexia Putellas dipilih Pemain Terbaik Tahunan UEFA. FOTO EPA
AFP

Istanbul: Pencapaian cemerlang Karim Benzema dan Alexia Putellas diiktiraf apabila menerima Anugerah Pemain Tahunan Lelaki dan Wanita UEFA di Istanbul, malam tadi.

Penyerang Perancis, Benzema mengetuai Real Madrid mengatasi Liverpool di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan menjaringkan 15 gol dalam kejohanan itu, manakala Alexia adalah penjaring terbanyak UCL Wanita apabila membantu Barcelona layak ke final sebelum kecundang di tangan Lyon.

Benzema memenangi anugerah itu apabila mengatasi rakan sepasukan, Thibaut Courtois dan pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, sekali gus menggantikan pemain tengah Chelsea, Jorginho yang memenangi anugerah itu tahun lalu.

Penyerang berbisa berusia 34 tahun itu meledak hatrik menentang Paris Saint-Germain dan Chelsea di peringkat kalah mati UCL dan menjaringkan tiga gol dalam dua aksi separuh akhir timbal balik melawan Manchester City.

Dia menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan bagi membantu Real memenangi gelaran LaLiga.

Alexia, 28, memenangi gelaran itu kali kedua berturut-turut sekalipun mengalami kecederaan lutut serius yang menyebabkannya tersisih daripada aksi Euro 2022.

Dia mengatasi penyerang England yang muncul juara Eropah, Beth Mead yang berkongsi penjaring terbanyak kejohanan serta pemain tengah muda Jerman, Lena Oberdorf.

Carlo Ancelotti dipilih sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan Lelaki susulan kejayaan bersama Real manakala jurulatih dari Belanda, Sarina Wiegman menerima anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan Wanita selepas membimbing England muncul juara Eropah di tempat sendiri, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 8:00 AM