ANCELOTTI (kanan) mahu pastikan Real memulakan kempen Eropah dengan cemerlang.
ANCELOTTI (kanan) mahu pastikan Real memulakan kempen Eropah dengan cemerlang.
AFP

Helsinki: Real Madrid mahu terus memastikan kedudukan di puncak bola sepak Eropah musim ini tidak tergugat ketika mereka bersiap sedia memulakan kempen dengan menentang Eintracht Frankfurt dalam aksi Piala Super Uefa di Helsinki Khamis ini.

Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti yang muncul satu-satunya pengurus menjuarai Liga Juara-Juara empat kali berkata, kemenangan 1-0 ke atas Liverpool pada final musim lalu menyebabkan beliau berasakan tiada siapa boleh merampas kedudukan mereka.

"Ia memberikan kami motivasi yang kuat untuk terus menang," katanya ketika ditemui Uefa.com.

Ancelotti kembali kali kedua mengendalikan Real musim lalu dan mengetuai mereka meraih gelaran La Liga ke-35.

Namun aksi Eropah yang paling menarik apabila Real mencipta kebangkitan ketika menentang Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City sebelum menewaskan The Reds di final.

"Semua kebangkitan itu di stadium kami. Selalu yakin dan tidak putus asa. Terima kasih kepada penyokong," katanya.

Jurulatih dari Itali itu berkata mereka tidak boleh mengambil mudah ancaman juara Liga Europa, Frankfurt yang turut mempunyai semangat juang tinggi.

Real akan tampil kali kelapan aksi Piala Super dan memenanginya sebanyak empat kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 9:49 AM