PEMILIK bersama Manchester United, Jim Ratcliffe turut memiliki kelab Perancis, Nice. FOTO AGENSI
PEMILIK bersama Manchester United, Jim Ratcliffe turut memiliki kelab Perancis, Nice. FOTO AGENSI
Agensi

Manchester: Manchester United mungkin tidak dapat beraksi di pentas Eropah musim depan selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengekalkan larangan kelab di bawah pemilik sama bersaing sesama sendiri.

Kelab di bawah satu bumbung masih boleh beraksi di Eropah sekiranya mereka menyertai kejohanan berbeza, tetapi dilarang berada dalam kejohanan sama serentak.

Nice yang dimiliki Kumpulan Ineos milik Sir Jim Ratcliffe, mungkin menjadi penghalang buat Manchester United untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.

Bulan lalu, Ratcliffe mendakwa dia dimaklumkan oleh UEFA yang tiada masalah buat Man United untuk bermain di Eropah walaupun dia turut memiliki Nice.

Tetapi kini, UEFA mengesahkan yang terdapat larangan ke atas kelab di bawah satu bumbung bersaing dalam kejohanan sama.

"Betul, Manchester United dan Nice tidak boleh bersaing dalam kejohanan sama. Mereka boleh menyertai kejohanan berbeza," kata sumber dari UEFA.

United yang menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal menyertai Liga Europa musim depan, walaupun kelab Inggeris meraih tiket ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan menerusi kejuaraan Eropah musim ini.

Bagaimanapun prestasi merosot Nice tahun ini bakal meranapkan impian United.

Mereka begitu selesa untuk layak ke UCL di akhir Januari lalu, sebelum deretan keputusan buruk dengan hanya satu kemenangan dalam tujuh perlawanan meletakkan Nice di tangga kelima.

Jika kedudukan United dan Nice kekal, kedua-dua kelab layak ke Liga Europa. Bagaimanapun, mengikut peraturan, Nice akan mendapat laluan berdasarkan kedudukan lebih tinggi dalam saingan domestik.

Situasi itu akan berubah sekiranya United memenangi Piala FA, yang memberikan mereka kelebihan dan menghantar Nice ke Liga Konferens.

Perkara sama akan berlaku jika United dan Nice layak ke UCL dan pasukan yang berada di tangga lebih tinggi dalam saingan domestik akan terpilih dan yang satu lagi akan tercicir ke Liga Europa.

Namun, jika kedua-dua pasukan mengakhiri musim dengan kedudukan sama di peringkat domestik, United akan layak berdasarkan ranking England dalam senarai lima tahun UEFA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:05 PM