Penyerang Perancis, Marcus Thuram (kanan) cuba melepasi pemain Finland pada aksi persahabatan. FOTO AFP
Penyerang Perancis, Marcus Thuram (kanan) cuba melepasi pemain Finland pada aksi persahabatan. FOTO AFP
AFP

Paris: Finland merosakkan penampilan Marcus Thuram selepas menewaskan Perancis 2-0 pada hari penyerang Borussia Moenchengladbach itu mengikut jejak langkah bapanya, Lilian Thuram membuat kemunculan pertama bersama skuad Les Bleus.

Thuram dipilih Didier Deschamps pada aksi persahabatan di Stade de France selepas 22 tahun ayahnya menang Piala Dunia di gelanggang sama, namun persembahan baiknya di sayap kiri gagal menyekat Finland menang perlawanan itu.

Cubaan pemain berusia 23 tahun terkena tiang selepas 15 minit permainan ketika dia dan Lucas Digne terus memberi banyak masalah kepada pertahanan pasukan pelawat itu.

Bagaimanapun, Marcus Forss mengejutkan tuan rumah apabila dia mengambil bola selepas kesilapan Moussa Sissoko dan melakukan rembatan ke penjuru gawang mengatasi jangkaan Steve Mandanda.

Perancis tidak sempat membalas sebelum Onni Valakari menggandakan jaringan apabila mendapat peluang meledak gol.

Keputusan itu agak mengecewakan Deschamps tetapi dia pasti gembira dengan persembahan Thuram, yang mempamerkan aksi bertenaga berbanding pemain yang sudah mempunyai nama di peringkat antarabangsa termasuk Paul Pogba dan Olivier Giroud.

"Ia adalah aksi babak pertama yang baik sekalipun lawan memperoleh jaringan," kata Thuram kepada saluran TV, M6.

"Saya cuba belajar sebanyak mungkin disamping pemain antarabangsa yang lain... dan menimba pengalaman sebanyak-banyaknya. Saya harap ia akan berterusan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 10:01 AM