THURAM (tiga dari kanan) melakukan percubaan ke arah gawang Benfica. FOTO REUTERS
THURAM (tiga dari kanan) melakukan percubaan ke arah gawang Benfica. FOTO REUTERS
Reuters

Milan: Inter Milan menewaskan Benfica 1-0 pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi menerusi jaringan cantik Marcus Thuram pada babak kedua.

Pendahulu Serie A yang muncul naib juara UCL musim lalu itu kini menduduki tempat kedua kumpulan di belakang Real Sociedad.

Pada aksi itu, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada babak pertama apabila penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin menyelamatkan percubaan Denzel Dumfries dan penjaga gol Inter, Yan Sommer menafikan percubaan Fredrik Aursnes.

Anak buah Simone Inzaghi menguasai perlawanan babak kedua dengan peluang menerusi Dumfries dan penjaring utama mereka, Lautaro Martinez, yang menjaringkan empat gol pada aksi liga menentang Salernitana, Sabtu lalu.

Thuram akhirnya meletakkan Inter di depan pada minit ke-61 apabila memanfaatkan umpanan Dumfries.

"Kami gembira dengan tiga mata ini dan menang perlawanan kedua kumpulan sangat penting," kata Thuram.

"Lebih baik lagi apabila kami melakukannya di depan penyokong sendiri. Jika saya tidak menjaringkan gol, pemain lain akan melakukannya, tetapi malam ini giliran saya dan saya sangat gembira."

Inter yang seri 1-1 dengan Real Sociedad pada perlawanan pembukaan, terlepas peluang menggandakan kedudukan apabila Martinez sekali lagi terlepas peluang keemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 9:39 AM