DEPAY cemerlang apabila menjaringkan dua gol dan mencipta satu lagi gol untuk memastikan LuLyon menang bergaya ke atas Guingamp, awal pagi hari ini. FOTO EPA.
DEPAY cemerlang apabila menjaringkan dua gol dan mencipta satu lagi gol untuk memastikan LuLyon menang bergaya ke atas Guingamp, awal pagi hari ini. FOTO EPA.
Reuters

PARIS: Pemain Belanda, Memphis Depay meneruskan persembahan cemerlangnya dalam Ligue 1 apabila meledak dua gol menakjubkan dan mencipta satu lagi untuk membantu Olympique Lyon menang bergaya 4-2 di kelab tercorot Guingamp, awal pagi hari ini.

Keputusan itu membolehkan Lyon kekal di tangga keempat dengan 24 mata daripada 13 perlawanan, satu mata di belakang Montpellier dan satu di depan St Etienne yang menewaskan Reims 2-0 di laman sendiri.

Tandukan padu Marcus Thuram, anak lelaki bekas pemenang Piala Dunia Perancis, Lilian Thuram, membantu Guingamp mendahului selepas 21 minit sebelum Houssem Aouar menyamakan kedudukan pada minit ke-62.

Depay, bekas penyerang Manchester United menyumbat gol pada minit ke-66 dengan rembatan mengelirukan dari hujung kotak penalti dan kemudian menyepak masuk sepakan percuma dari jarak 30 meter yang terkena palang terlebih dahulu.

Thuram menjaringkan gol keduanya menerusi sepakan penalti untuk menghidupkan peluang tuan rumah meraih satu mata sebelum pemain gantian Maxwel Cornet memastikan kemenangan Lyon dengan sentuhan pertamanya hasil hantaran Depay.

Nice menang tipis 1-0 ke atas Nimes yang beraksi sembilan pemain apabila Youcef Atal meledak masuk gol kemenangan pada minit ke-61 selepas tuan rumah terjejas apabila Faitout Maouassa dan Loick Landre dibuang padang pada babak pertama.

Gol babak pertama Mathieu Debuchy dan Wahbi Khazri membantu kemenangan St Etienne ke atas Reims manakala Montpellier tumpas 0-1 di Angers selepas Romain Thomas menjaringkan gol pada minit ke-69.

Amiens keluar daripada zon penyingkiran apabila menang 1-0 di Toulouse, susulan gol Alexis Bin pada minit ke-28.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:43 AM