ZII Jia menang tiga kali berturut-turut ke atas Ka Long.
ZII Jia menang tiga kali berturut-turut ke atas Ka Long.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun mencatat kemenangan meyakinkan kali ketiga ke atas Ng Ka Long dalam tempoh 17 hari, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui dia masih belum mencapai tahap terbaik.

Menurutnya, kemenangan kali ketiga berturut-turut ke atas pemain Hong Kong itu dicatatkan dalam keadaan tahap fizikalnya masih belum stabil berikutan mengalami kecederaan hamstring sehingga memaksanya menarik diri daripada Terbuka Singapura minggu lalu.

"Secara jujur belum mencapai tahap terbaik, tidak sempat untuk sembuh sepenuhnya dalam tempoh seminggu. Tidak banyak yang mampu saya lakukan hanya berehat dan melakukan latihan ringan," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ujar pemain ranking ketujuh dunia itu, keadaannya sekarang boleh dikatakan pada tahap 70 hingga 80 peratus namun dia berasakan semua pemain berada di tahap sama kecuali pemain Taiwan, Chou Tien Chen yang mempamerkan prestasi luar biasa (separuh akhir-Terbuka Thailand, suku akhir Masters Malaysia, separuh akhir Terbuka Singapura).

"Seperti apa saya katakan ini ujian terbaik buat saya kerana semua pemain terbaik dunia hadir. Bukan pusingan yang mudah di sini, setiap pusingan menjanjikan persaingan sengit.

"Sama ada saya masih bermain dalam keadaan stabil atau pun tidak, ini cabaran yang baik buat saya (sebelum Sukan Olimpik Paris)," kata juara Terbuka Thailand itu.

Dalam perlawanan pagi tadi Zii Jia mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-16 di pusingan pertama Terbuka Indonesia di Istora Senayan.

Turut mengiringi Zii Jia ke pusingan kedua ialah beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menumpaskan Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan 21-19, 22-20.

Bagaimanapun, hasrat dua beregu campuran untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kalah kepada pilihan keempat dari Korea Selatan, Seon Seung Jae-Chae Yu Jung 13-21, 15-21, manakala gandingan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon tumpas di tangan pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau 21-16, 17-21, 10-21.

Nasib sama berlaku terhadap beregu lelaki, Choong Hon Jian-Haikal Nazri yang kalah 21-18, 16-21, 17-21 kepada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 5:23 PM