ZII Jia akan menentang pemain China pada peringkat separuh akhir esok. FOTO BAM
ZII Jia akan menentang pemain China pada peringkat separuh akhir esok. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia hampir dimalukan rakan senegaranya, Ng Tze Yong sebelum dia bangkit untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi suku akhir Terbuka Australia, sebentar tadi.

Walaupun mencatatkan kemenangan terhadap 'adiknya' itu, Zii Jia terpaksa berhempas pulas untuk mengesahkan slot ke separuh akhir menerusi keputusan 17-21, 26-24, 21-19 dalam tempoh satu jam 33 minit.

Tze Yong yang kini berada di ranking ke-21 dunia mempamerkan aksi bertenaga pada set pertama untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Namun, pengalaman dimiliki Zii Jia jelas memberi kelebihan kepadanya apabila bangkit pada set kedua dan penentuan untuk mengesahkan slot empat pemain terbaik di Terbuka Australia.

Malah, kejayaan pemain yang berada di ranking 17 dunia itu juga akhirnya menamatkan badi lima kali tewas berturut-turut pada pusingan pertama apabila kali ini berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Namun, Zii Jia seharusnya berwaspada kerana pertembungan kali pertama dengan Tze Yong di kejohanan antarabangsa itu membuktikan jurang antara kedua-dua pemain terbabit tidak banyak bezanya.

Menanti Zii Jia di separuh akhir esok adalah pemain dari China, Weng Hong Yang selepas dia mengesahkan kemenangan terhadap wakil Taiwan, Chou Tien Chen 21-10-21-16.

Sementara itu, harapan menggunung untuk menyaksikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir berkecai selepas tewas kepada pasangan dari Taiwan, Liu Ching Yao-Yang Po Han 15-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 4:18 PM