TANG Jie (kiri) dan Ee Wei menghadiahkan mata pertama buat Malaysia. FOTO BAM
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei menghadiahkan mata pertama buat Malaysia. FOTO BAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pasukan Malaysia berjaya menamatkan saingan peringkat Kumpulan C Piala Sudirman di kedudukan teratas selepas menewaskan Taiwan 4-1 sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, skuad negara memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan mata pertama buat Malaysia selepas menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong-wei-Lee Chia-hsin.

Meskipun tewas pada set pertama, 17-21 namun, gandingan negara itu kembali bangkit memenangkan dua set berikutnya 21-19, 21-17 dalam aksi yang memakan masa satu jam tujuh minit.

"Saya rasa kita agak gugup pada mulanya memandangkan ini perlawanan pertama kami di kejohanan besar seperti Piala Sudirman. Kalau cakap tak fikir apa-apa ketika dalam gelanggang itu memang tipu.

"Malah ketika set kedua kami ketinggalan tetapi saya percaya dengan pasangan dan diri sendiri. Rakan sepasukan juga banyak memberi sokongan kepada saya.

"Jurulatih juga banyak beri arahan dan percaya dengan kami jadi sebab itu kami boleh menanag aksi ini,"kata Tang Jie.

Kemenangan yang diraih Tang Jie-Ee Wei itu nyata menaikkan semangat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan wakil Hong Kong Chou Tien-chen 21-14, 23-21 untuk Malaysia selesa dihadapan 2-0.

Bagaimanapun momentum yang diraih pasukan Malaysia gagal dikekalkan oleh pemain perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei yang turun pada perlawanan ketiga selepas akur tumpas straight set kepada Tai Tzu-ying 8-21, 10-21 dalam aksi yang memakan masa 28 minit.

Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengesahkan mata kemenangan buat pasukan negara apabila menewaskan Lu Ching-yao-Yang Po-han 21-8, 23-21 untuk kedudukan 3-1.

Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang turun pada perlawanan kelima menepati ramalan apabila berjaya menumbangkan gandingan Taiwan, Hsu Ya-ching-Teng chun-hsun 21-15, 19-21, 21-16 untuk Malaysia meraih kemenangan mutlak 4-1.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia berjaya mengelak daripada berjumpa dengan juara kumpulan lain dengan naib juara kumpulan A,B, D bakal menjadi lawan pasukan negara di pusingan suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 4:48 PM