CHOU Tien-chen ketika menentang Anders Antonsen. FOTO Reuters
CHOU Tien-chen ketika menentang Anders Antonsen. FOTO Reuters
AFP

PEMAIN Taiwan, Chou Tien-chen akan berdepan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada final Seluruh England selepas mengharungi cabaran berbeza pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Pemain nombor tujuh dunia, Axelsen terpaksa bekerja keras menewaskan pemain nombor 13 dunia dari Malaysia, Lee Zii Jia 17-21, 21-13, 21-19 di Birmingham.

Chou pula menamatkan perlawanan dengan lebih mudah apabila pemain Denmark, Anders Antonsen menarik diri ketika ketinggalan 14-17 pada set pertama.

Axelsen mahu menebus kekalahan di tangan Kento Momota pada final tahun lalu selain mengekalkan momentum selepas kejayaan di Masters Barcelona dan Terbuka Indonesia.

"Perlawanan yang sangat sengit. Lee membuatkan perlawanan ini benar-benar sukar memaksa saya perlu lebih fokus dan tenang serta melakukan yang terbaik,” kata Axelsen.

"Selain itu, tuah juga menyebelahi saya, kalau tidak mungkin keputusan menjadi sebaliknya.”

Dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia dari China, Chen Yu Fei menewaskan pemain Jepun, Nozomi Okuhara 21-14, 23-21 dan pilihan kedua dari Taiwan, Tai Tzu-ying menewaskan pemain Sepanyol, Carolina Marin 19-21, 21-13, 21-11.

Manakala, Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti mara ke final acara beregu campuran selepas menewaskan gandingan Marcus Ellis dan Lauren Smith.

Kemenangan 21-15, 21-23, 21-11 membolehkan mereka menempah pertembungan dengan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 8:22 AM