TANG Jie (kiri) dan Ee Wei ditunjuk jalan keluar oleh pilihan keempat dari Korea. FOTO ASYRAF HAMZAH
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei ditunjuk jalan keluar oleh pilihan keempat dari Korea. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aksi pembuka tirai Terbuka Indonesia jelas sekali tidak memihak kepada skuad badminton negara apabila dua pasangan beregu campuran yang turun pada perlawanan sulung saingan Super 1000 tumbang kepada lawan masing-masing.

Hasrat beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan keempat dari Korea Selatan, Seon Seung Jae-Chae Yu Jung.

Lebih sedih mereka tumpas straight set 13-21, 15-21 ketika berdepan juara dunia itu dalam aksi yang berlangsung selama 32 minit yang berlangsung di Istora Senayan.

Nasib yang sama berlaku kepada gandingan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila mereka kalah kepada Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau dari Hong Kong.

Selepas bermula dengan meyakinkan apabila memenangi set pertama Soon Huat-Shevon yang juga juara Masters Malaysia terpaksa akur dengan kebangkitan dipamerkan gandingan nombor 22 dunia itu apabila kecundang 21-16, 17-21, 10-21.

Kekalahan ini menyaksikan rekod pertemuan pasangan profesional negara itu terus ketinggalan kepada 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 11:30 AM