ZII Jia kejutkan Chen Long pada Terbuka Indonesia di Jakarta, malam ini. — FOTO AFP
ZII Jia kejutkan Chen Long pada Terbuka Indonesia di Jakarta, malam ini. — FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


KEGUSARAN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 akhirnya terjawab apabila dia mengalahkan Chen Long pada pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta, malam ini.

Pada pertemuan sulung itu, Zii Jia yang kini memegang status selaku perseorangan lelaki nombor satu negara, terpaksa berhempas-pulas terlebih dulu di Istora Gelora Bung Karno sebelum menang 21-16, 19-21, 22-20.

Lebih menarik Zii Jia tidak perlu berdepan seorang lagi jaguh China pada suku akhir esok apabila pilihan kedua Shi Yuqi menarik diri ketika ketinggalan 6-7 pada set pertama sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada Anders Antonsen dari Denmark.

Ia peluang terbaik buat Zii Jia membalas dendam ke atas Antonsen, yang menewaskannya pada suku akhir Masters Indonesia awal tahun ini.

CHEN Long gagal mengekang kemaraan Zii Jia di Istora Gelora Bung Karno. — FOTO AFP
CHEN Long gagal mengekang kemaraan Zii Jia di Istora Gelora Bung Karno. — FOTO AFP

Sementara itu, hasrat perseorangan wanita negara, Soniia Cheah untuk menamatkan badi kekalahan di tangan Nozomi Okuhara dari Jepun tidak kesampaian apabila dia kalah mudah 7-21, 16-21.

Ia kekalahan ketujuh berturut-turut Soniia menentang pilihan ketiga kejohanan itu.

Turut menamatkan cabaran adalah beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tewas kepada pilihan ketiga dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 13-21, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:38 PM