ZII Jia bertemu media selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan BAM, Rabu lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
ZII Jia bertemu media selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan BAM, Rabu lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Antara langkah awal untuk perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bergerak secara profesional adalah menitik beratkan elemen sains sukan agar dia terus kekal pada tahap yang dicapai sekarang ini.

Selepas mendapat segala kemudahan yang sudah tersedia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Zii Jia selepas ini perlu mencari sendiri kemudahan yang menitik beratkan soal fisiologi, analisa prestasi dan pemulihan selepas kejohanan.

Bagaimanapun, Institut Sukan Negara (ISN) sedia untuk memberikan bantuan namun pakej yang bakal ditawarkan selepas ini dikenakan bayaran mengikut pakej yang dipilih kerana tidak berada dalam program.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, jika Zii Jia masih mempunyai kepercayaan terhadap keupayaan pasukannya, mereka bersedia untuk memberikan bantuan.

"Tapi bukan di atas kapasiti dalam program dan dia perlu memilih beberapa pakej yang kami tawarkan dengan membayar kepada kami seperti mana dilakukan atlet profesional lain sebelum ini.

"Dari segi menyediakan pakej untuknya memang tidak ada masalah, seperti mana kami lakukan kepada atlet profesional lain. ISN memang boleh memberikan servis cuma disebabkan dia tidak berada dalam program dia perlu membayarkan perkhidmatan ini," kata Ahmad Faedzal.

Ujarnya, ISN boleh memberikan bantuan jika pihak pengurusan Zii Jia datang mengadakan perbincangan dengan mereka kerana elemen sains sukan adalah sangat penting bagi perkembangan karier atlet.

"Dia perlu mempunyai pasukan lengkap yang menitik beratkan soal persediaan fizikal, pemulihan, analisa prestasi. Sebagai pemain profesional perlu pertimbangkan perkara ini.

"Pasukan sains sukan yang dipilih pula bersifat hanya akan memberikan tumpuan kepada dirinya sahaja," kata Ahmad Faedzal.

Zii Jia mendapat restu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional iaitu tindakan yang sudah dirancangnya sejak awal 2021 selepas beraksi agak teruk dalam beberapa kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:44 PM