ZII Jia agak kepenatan menyebabkan tidak mampu untuk mengekalkan momentum. FOTO AP
ZII Jia agak kepenatan menyebabkan tidak mampu untuk mengekalkan momentum. FOTO AP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia mengakui keletihan menjadi antara punca dia kecundang di tangan wakil China Shi Yu Qi pada aksi final Terbuka Denmark malam tadi.

Pada pertembungan berlangsung di Arena Jyske Bank itu menyaksikan Zii Jia tewas menerusi tiga set 18-21, 21-16, 21-12.

Walaupun Zii Jia yang merangkul gelaran Terbuka Thailand Mei lalu bangkit mencatatkan kemenangan pada set kedua namun terpaksa akur kehebatan Yu Qi pada perlawanan penentuan sekali gus terlepas peluang meraih gelaran di Terbuka Denmark.

Zii Jia berkata, lawannya itu lebih berpengalaman dalam mengawal situasi ketika berada di saat 'genting' sekali gus mampu memungut mata untuk memenangi perlawanan terutama pada set penentuan.

"Saya cuba melakukan terbaik pada perlawanan final itu termasuk fokus mahu mengatasi lawan namun dia lebih berpengalaman dalam mengawal situasi perlawanan.

"Saya fikir mungkin agak kepenatan menyebabkan tidak mampu untuk mengekalkan momentum perlawanan sekali gus memberi kelebihan kepada Yu Qi," katanya.

Selain itu, pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu berkata, dia mengharapkan prestasinya di Terbuka Denmark dapat dikekalkan dalam persediaan mengharungi kejohanan antarabangsa kelak.

"Ini adalah permulaan terbaik buat saya kerana akan mengharungi banyak lagi perlawanan sekali gus mengharapkan dapat terus mengekalkan prestasi terbaik," katanya.

Mengikut rekod,kekalahan Zii Jia itu memberi ruang kepada Yu Qi untuk memadam rekod tanpa kalah apabila tiga pertemuan kedua-dua pemain sebelum ini memihak kepada pemain negara itu.

Malah, kejayaan Yu Qi itu juga menamatkan kemarau gelaran pemain yang berada di ranking 44 dunia itu sekali gus membawa pulang wang tunai kira-kira RM250,000.

Zii Jia pula terus kempunan meraih gelaran di Terbuka Denmark dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah beraksi di peringkat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:01 PM