ZII Jia gagal mengekalkan rentak permainan pada set penentuan apabila ketinggalan seawal permainan bermula. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
ZII Jia gagal mengekalkan rentak permainan pada set penentuan apabila ketinggalan seawal permainan bermula. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia terus kempunan meraih gelaran di Terbuka Denmark apabila tewas kepada wakil China Shi Yu Qi sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Jyske Bank itu menyaksikan Zii Jia tewas menerusi tiga set 18-21, 21-16, 21-12.

Walaupun pada peringkat awal set pertama pemain berada di ranking ketujuh dunia itu mempamerkan aksi bertenaga dengan satu ketika meninggalkan lawannya 5-9 namun Yu Qi bangkit memperkemaskan aksi sebelum mencatatkan kemenangan 21-18.

Pertembungan set kedua pula menyaksikan Zii Jia memperkemaskan permainan apabila tidak memberi peluang kepada Yu Qi memungut mata sekali gus berjaya memastikan set kedua sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, Zii Jia gagal mengekalkan rentak permainan pada set penentuan apabila ketinggalan seawal permainan bermula sekali gus memberi ruang kepada Yu Qi mencipta kemenangan 21-12.

Kekalahan itu menyaksikan Yu Qi akhirnya berjaya merekodkan kemenangan apabila tiga pertemuan kedua-dua pemain sebelum ini menyaksikan memihak kepada Zii Jia.

Malah, kejayaan Yu Qi itu juga menamatkan kemarau gelaran pemain yang berada di ranking 44 dunia itu sekali gus membawa pulang wang tunai kira-kira RM250,000.

Sementara itu, Zii Jia pula terus kempunan meraih gelaran di Terbuka Denmark dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah beraksi di peringkat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 7:31 AM