Aksi pemain badminton negara, Lee Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir BWF dekat Indonesia. FOTO AFP
Aksi pemain badminton negara, Lee Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir BWF dekat Indonesia. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas bergelut dengan prestasi pemain perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia berjaya mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF sebagai juara kumpulan.

Juara Seluruh England itu mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan selepas menewaskan pemain India, K Srikanth 21-19, 21-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Indonesia.

Berdasarkan prestasi yang dipamerkan, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu dilihat tidak berdepan masalah untuk mara ke perlawanan akhir.

Biarpun begitu jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan menegaskan bahawa Zii Jia tetap perlu berhati-hati kerana dia mungkin akan berdepan sekali lagi lawan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir nanti.

"Yang pasti Zii Jia tidak akan bertemu Viktor Axelsen. Bagi saya kita tidak perlu besarkan prestasi Zii Jia ini kerana semua pemain ada masa naik dan turun.

"Di tambah dengan begitu banyak kejohanan yang dia sertai, setiap pemain ada masa kemuncak masing-masing dan pasti ada masalah seperti kecederaan juga.

"Mungkin di kejohanan ini Zii Jia kembali 'fresh' jika dibandingkan dengan beberapa minggu lalu. Jadi yang penting esok adalah beri yang terbaik," katanya.

Dalam dua perlawanan awal kumpulan sebelum ini, Zii Jia turut menang ke atas pemain Thailand, Kunlavut dan Toma Junior Popov dari Perancis.

Kejayaan itu sekali gus memperbaiki pencapaiannya dalam penampilan pertama pada edisi 2020 yang menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas semua tiga perlawanan.

Sementara itu, turut mengiringi Zii Jia ke separuh akhir adalah beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan juga beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Manakala hasrat beregu wanita negara melakar kejutan mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila menduduki tempat ketiga Kumpulan A selepas hanya meraih satu kemenangan ke atas beregu dari Thailand.

Mereka tewas kepada beregu dari Indonesia yang juga pemenang pingat emas Olimpik, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 18-21, 11-21 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:04 PM