NORZA berharap Zii Jia dapat menandatangani LOC RTG dengan segera. FOTO ASWADI ALIAS
NORZA berharap Zii Jia dapat menandatangani LOC RTG dengan segera. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengerusi bersama jawatankuasa program Road to Gold (RTG), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dapat menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) RTG secepat mungkin.

Norza berkata, berdasarkan maklum balas menerusi laporan media, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-11 dunia komited untuk memeterai perjanjian antara beliau dengan RTG.

Justeru, Norza berharap ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya dimaklumkan dia berada di sini dan daripada apa yang saya dengar menerusi laporan media, dia akan menandatangani perjanjian itu.

"Jadi tiada sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.

"Lagi cepat dia tandatangani kontrak, lagi banyak bantuan kita boleh berikan kepada dia di bawah program RTG ini," katanya.

Zii Jia adalah satu-satunya dari 15 atlet tersenarai di bawah program RTG yang tidak menandatangani LOC.

Dia diberi tempoh sehingga 14 November ini untuk menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen baharu untuk terus berada dalam program RTG.

Terdahulu pengurus pasukan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Yii mengambil maklum berkenaan isu belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

Zii Yii yang juga kakak kepada Zii Jia berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan kerjasama antara kedua-dua pihak itu berjalan dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 5:38 PM