ZII Jia menolak untuk menyertai Program RTG. FOTO ASYRAF HAMZAH
ZII Jia menolak untuk menyertai Program RTG. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Fokus matlamat masing-masing, itulah pandangan bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim berhubung dengan Lee Zii Jia menolak untuk menyertai Program Road To Gold (RTG).

Menurut Roslin, Zii Jia harus fokus kepada matlamatnya sendiri, manakala pihak yang bertanggungjawab dengan program RTG pula harus memikirkan untuk menguruskan atlet lain di bawah program berkenaan.

"Dia (Zii Jia) tolak mungkin ada beberapa syarat yang pasukannya tidak bersetuju. Syarat-syarat berkenaan mungkin 'tidak berlaga angin' dengan pasukan Team Lee Zii Jia (Team LZJ)," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu, keputusan pun sudah dibuat dan sekarang ini masing-masing harus fokus kepada matlamat yang ditetapkan.

"Apa yang penting adalah demi negara. Negara nombor satu itu yang penting, tidak kisah di dalam mahu pun di luar program. Bezanya mereka yang ada dalam RTG memperoleh peruntukan yang lebih dari segi fasiliti apa semua.

"Sekarang ini Zii Jia harus bijak menguruskan sendiri selepas memberitahu tidak mahu mempunyai komitmen dalam program RTG. Dia tidak perlu lagi fikir pasal perkara ini dan tidak perlu minta bantuan apa-apa, hanya fokus kepada matlamatnya," kata Roslin.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan pihaknya masih mempunyai program podium untuk membantu atlet negara sekiranya mereka tidak terpilih mahupun menolak untuk menyertai program RTG.

Kelmarin, pemain profesional badminton negara, Lee Zii Jia membuat keputusan tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai program RTG.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya tidak boleh memaksa atlet berkenaan tetapi sentiasa membantu atlet negara yang berada dalam program podium.

"Saya rasa apa yang Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada maklumkan sebelum ini sama ada atlet yang hendak menyertai RTG ataupun tidak merupakan pilihan mereka sendiri.

"RTG ini seperti kita maklumkan beberapa kali ia adalah satu program tambahan kepada program podium. Bagi atlet tidak memilih program RTG kita masih memberi sokongan dari segi kemudahan dan bantuan yang diberikan dalam program podium itu tiada masalah," kata pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Persidangan Wanita Dalam Sukan Asean 2023.

Ketiadaan Zii Jia menyaksikan RTG akan meneruskan program mereka dengan 14 orang atlet terbaik dimiliki negara bagi mencapai sasaran pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Antara yang berada dalam program tersebut adalah Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dan badang negara, Mohd Aniq Kasdan.

Bakinya pula terdiri daripada barisan pemain badminton antaranya perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 3:20 PM