ZII Jia ada hak tentukan hala tuju terbaik untuk dirinya. -FOTO NSTP
ZII Jia ada hak tentukan hala tuju terbaik untuk dirinya. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat keputusan Lee Zii Jia tidak mahu bersama program Road To Gold (RTG) mungkin ingin mengelak dirinya berada dalam tekanan yang lebih tinggi menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, dia mempunyai hak untuk menentukan mana yang terbaik tambahan pula beliau atlet berstatus profesional.

Jelas Pekan, keputusan yang di buat oleh Zii Jia mungkin sedikit sebanyak mengecewakan pemegang taruh dalam RTG dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh namun begitu pemain berusia 25 tahun itu tetap akan menjadi salah satu atlet terpenting di Paris nanti.

"Mungkin juga dengan cara ini Zii Jia dapat kurangkan tekanan emosinya dan berasa bebas merancang persiapannya untuk Olimpik Paris (2024) nanti.

"Saya percaya dia (Zii Jia) akan layak beraksi di Olimplik Paris secara merit," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Tambah Pekan, beliau optimis pemain yang sering terpalit dengan kontroversi itu akan bangkit dan menjadi atlet harapan untuk mendapatkan pingat di temasya terbesar dunia itu nanti.

"Zii Jia adalah sandaran terbaik kita sama ada di dalam ataupun di luar RTG sekalipun dia sama seperti atlet negara yang layak ke Paris cuma tidak berada dalam RTG.

"Mana tahu di Paris nanti yang dalam program RTG gagal menyumbang pingat tetapi dia yang di luar pula menjadi penyelamat negara," katanya.

Zii Jia berjaya muncul juara di Terbuka Arctic dan ke final Terbuka Denmark dalam masa dua minggu berturut-turut, bermakna dia masih lagi berpeluang cerah di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:47 PM