Skuad wanita Indonesia muncul juara BATC buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-1. FOTO ASWADI ALIAS
Skuad wanita Indonesia muncul juara BATC buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-1. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Skuad wanita Indonesia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 pada aksi final, hari ini.

Gregoria Mariska Tunjung meletakkan Indonesia di depan selepas menundukkan Sim Yujin 21-9, 21-10 pada aksi pembukaan di Pusat Konvesyen Setia City.

Bagaimanapun, Baek Ha Na-Seong Seung Yeon menyamakan kedudukan untuk Korea selepas mengatasi Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-15, 14-21, 21-14.

Putri Kusuma Wardani kembali meletakkan Indonesia di depan selepas menewaskan Lee Se Yeon 21-10, 21-18 dalam acara perseorangan kedua.

Nita Violina Marwah-Lanny Tria Mayasari kemudian mengesahkan kemenangan Indonesia apabila mengatasi gandingan Kim Min Ji-Park Min Jeong 23-21, 21-11.Nita dan Lanny nyata gembira dapat memastikan skuad Indonesia muncul juara pada edisi kali ini.

"Selepas sekian lama menanti, akhirnya kami mampu melakukannya. Dapat meraih mata kemenangan adalah detik sangat istimewa untuk kami.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong Indonesia yang hadir memberi sokongan pada hari ini," kata Nita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:12 PM