REAKSI pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa (kanan) selepas tewas menentang pasukan dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini. FOTO BERNAMA
REAKSI pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa (kanan) selepas tewas menentang pasukan dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat skuad badminton wanita negara untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian 2022 dengan mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tumpas di tangan penyandang juara, Indonesia 0-3 pada aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) hari ini.

Walaupun Indonesia hanya membariskan skuad kedua mereka namun pemain wanita negara gagal mengambil kesempatan untuk memburu slot ke separuh akhir tatkla sudah berusaha dengan mengheret ketiga-tiga aksi ke saingan rubber set.

Menurut ketua pasukan, M Thinaah, dia sendiri juga kecewa dengan permainannya namun seluruh pasukan sudah memberikan tentangan.

"Pasangan lawan mudah membaca pemainan kita, di mana kami pula tidak mempunyai corak pemainan berbeza untuk kembali memberi tentangan kepada mereka. Kami cuba untuk melawan namun pukulan mereka lebih konsisten," kata Thinaah yang bergandingan bersama Pearly Tan selepas tumpas 14-21, 21-18, 15-21 di tangan Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto.

Sebelum mereka turun ke gelanggang harapan diletakkan kepada perseorangan, K Letshanaa untuk menghadiahkan mata pertama negara dalam aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Bagaimanapun, pemain ranking ke-57 dunia itu tumpas 12-21, 21-18, 13-21 di tangan Putri Kusuma Wardani.

Harapan untuk melihat seorang lagi pemain perseorangan, Wong Ling Ching menghidupkan peluang skuad wanita tidak kesampaian apabila dia juga terpaksa akur ketika berdepan Ester Nurumi Tri Wardoyo selepas kalah 21-14, 15-21, 16-21.

Selain Indonesia turut mara ke separuh akhir ialah India selepas mengalahkan Hong Kong 3-0, manakala Thailand pula mengetepikan Taiwan 3-1.

Pada edisi 2022, skuad wanita negara berjaya melangkah ke separuh akhir apabila muncul juara Kumpulan Y di mana mereka berjaya menumbangkan Jepun dan India 3-2.

Bagaimanapun, di separuh akhir mereka kalah 0-3 kepada Korea Selatan sebelum lawannya itu kalah 1-3 di tangan Indonesia pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:45 PM