GREGORIA akan membuat perhitungan menentang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Akane. FOTO Bernama
GREGORIA akan membuat perhitungan menentang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Akane. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sentuhan Indra Wijaya yang dilantik sebagai ketua jurulatih kem perseorangan wanita Indonesia sejak Mac lalu diyakini mampu meningkatkan prestasi 'tunggal putri' mereka.

Walaupun baRu sebulan menjalani latihan bersama Indra, pemain perseorangan wanita utama Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dapat merasakan prestasinya mula meningkat di bawah bimbingan bekas jurulatih perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

"Saya sangat selesa dengan pendekatan Indra dari segi cara dan bicaranya di sesi latihan. Pastinya kemasukan Indra sangat membantu bukan saya sahaja namun keseluruhan kem perseorangan wanita Indonesia dan akan terus lebih baik lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gregoria berkata demikian selepas menyingkirkan bekas juara dunia PV Sindhu dari India, 21-14, 21-17 pada separuh akhir Masters Malaysia 2023.

Dia akan membuat perhitungan menentang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi di final esok selepas pilihan utama kejohanan menundukkan pilihan keempat, Han Yue dari China, 21-10, 21-17.

Indra dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita Indonesia bermula 1 Mac lepas oleh Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) setelah berpisah dengan Zii Jia pada November.

Indra pernah membimbing Zii Jia muncul juara Kejohanan Badminton Asia 2022 di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand 2022 selain pernah berkhidmat sebagai jurulatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2015 sehingga meletak jawatan Januari 2022.

Sementara itu, Gregoria mengakui peningkatannya agak perlahan namun bersyukur dapat membuktikan kehadirannya dapat dirasai pemain lain sehingga berjaya mendaki ke tangga kesembilan terbaik dunia dan menjulang kejuaraan pertama Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia pada Masters Sepanyol 2023 dengan menumpaskan Sindhu, 21-8, 21-8 di Madrid, April lepas.

Mengenai aksi final esok, pemain kelahiran Jawa Tengah itu berharap dapat menjelmakan prestasi terbaiknya walaupun kelebihan jelas memihak Akane yang mencatat 10 kemenangan daripada 13 pertemuan sebelum ini.

Dalam pada itu, dia juga berharap dapat naik ke kedudukan lima terbaik dunia menjelang akhir tahun ini selain memenangi pingat pada Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung di Hangzhou, China pada 23 September-8 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 8:08 PM