Pemain badminton para negara Cheah Liek Hou sandaran terbaik meraih pingat negara. FOTO File NSTP
Pemain badminton para negara Cheah Liek Hou sandaran terbaik meraih pingat negara. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Tokyo nyata memberi inspirasi kepada pemain perseorangan negara, Cheah Liek Hou untuk mempamer aksi cemerlang di Paralimpik Tokyo.

Jelasnya, semangat yang ditunjukkan pasangan negara itu mengetepikan barisan terbaik dunia dalam usaha memenangi pingat gangsa adalah sesuatu yang harus dijadikan contoh.

"Olimpik baru sahaja habis dua minggu lalu dan saya nampak kawan-kawan macam beregu lelaki kita sudah memenangi pingat gangsa.

"Apabila melihat mereka meraikan kejayaan itu, saya terfikir perkara yang sama. Saya memang sudah tidak sabar nak beraksi di Tokyo berjuang untuk Malaysia

."Lagipun saya juga teruja kerana ini kali pertama badminton dipertandingkan di Sukan Paralimpik," katanya yang berlepas ke Tokyo bersama seorang lagi pemain paralimpik negara, Didin Taresoh.

Disandarkan antara prospek emas, Liek Hou bagaimanapun enggan memberi tekanan kepada dirinya sendiri, sebaliknya dia percaya impian itu akan menjadi kenyataan jika segala proses berjalan dengan baik.

"Saya rasa kalau dapat beraksi dengan baik semasa berlangsungnya pertandingan dan saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi, maka nak mendapatkan pingat untuk di bawa pulang agak cerah.

"Sekarang yang perlu saya lakukan adalah terus fokus dalam latihan dan menajamkan strategi serta permainan.

"Jika semua proses ini dapat dicapai dan dilalui dengan baik, saya yakin akan meraih prestasi yang baik di Tokyo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:04 AM