Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou.
Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou agak tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri selepas disandarkan memenangi pingat emas untuk kontinjen Paralimpik negara di Tokyo.

Sebaliknya, Chong Wei berharap Liek Hou hanya memberi fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu dan sentiasa cuba mengawal emosinya ketika di atas gelanggang.

"Dia ada hubungi saya beritahu tak boleh tidur dan mula rasai tekanan. Bagi saya itu adalah normal. Anggaplah ini semua sebagai cabaran untuknya.

"Beraksi di pentas tertinggi seperti Olimpik sememangnya tekanan amat tinggi lebih-lebih lagi ini adalah penampilan kali pertamanya," katanya ketika dihubungi.

Jelas Chong Wei, Liek Hou harus mengambil pengajaran daripada kempen di Olimpik yang menyaksikan barisan pemain pilihan seperti jaguh tuan rumah, Kento Momota tersingkir awal ketika dia diletakkan harapan tinggi untuk memenangi emas.

"Saya sudah beraksi di Olimpik sebanyak empat kali dan ia memang tidak mudah. Apapun saya berharap Liek Hou terus tenang dan tolak tepi harapan yang diletakkan kepadanya.

"Dia dibimbing oleh (Datuk) Rashid Sidek, seorang yang cukup berpengalaman dan pernah memenangi pingat di Olimpik. Saya percaya Rashid tahu apa yang perlu dilakukan.

"Apapun yang berlaku, saya percaya semua rakyat Malaysia akan menyokong Liek Hou dan seluruh atlet paralimpik negara di Tokyo," katanya.

Liek Hou akan memulakan kempen esok bagi kategori SU5 bertemu Ahmed Magdy Amin Eldakrory (Mesir) pada perlawanan pertama Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:01 PM