LIEK HOU (tengah) bergambar bersama pemain dari Indonesia Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho yang memenangi pingat perak serta gangsa. FOTO Bernama
LIEK HOU (tengah) bergambar bersama pemain dari Indonesia Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho yang memenangi pingat perak serta gangsa. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada atlet badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou, yang menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

Ismail Sabri menyifatkan kejayaan atlet berusia 33 tahun itu diraih hasil prestasi yang sungguh menakjubkan ditunjukkannya.

"Syabas Cheah Liek Hou atas prestasi yang sungguh menakjubkan. Pingat emas buat Malaysia!

"Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara. Semangat dan kecekalan seperti inilah yang menjadi sumber inspirasi seluruh warga Keluarga Malaysia!," katanya di Facebook beliau hari ini.

Liek Hou hari ini mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas dalam sukan itu di Sukan Paralimpik 2020 dan kedua buat Malaysia di Tokyo.

Liek Hou yang beraksi bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

Untuk rekod, ini julung kali sukan badminton dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Dengan kejayaan itu, Liek Hou yang dibimbing Datuk Rashid Sidek akan menerima ganjaran RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:26 PM