Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou. FOTO File NSTP
Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou nyata tidak berdepan masalah beraksi pada perlawanan pertamanya di Paralimpik Tokyo 2020.

Dia yang diletakkan dalam Kumpulan B, berjaya menenewaskan wakil Mesir, Ahmed Magdy Amin Eldakrory 21-3, 21-2.

Berlangsung di Stadium Nasional Yoyogi, Liek Hou yang disandarkan untuk memenangi pingat emas buat kontinjen negara, hanya memerlukan masa selama 15 minit untuk menewaskan lawannya itu dalam kategori SU5.

Pemain negara berusia 33 tahun itu hanya perlu menang aksi kedua bertemu pemain Taiwan, Jen Yu Fang esok bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.

Liek Hou akan menutup tirai saingan peringkat kumpulan menentang pemain Jepun, Taiyo Imai yang mana aksi berkenaan dijangka menjadi penentuan juara dan naib juara kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir. Esok juga menyaksikan seorang lagi wakil negara, Didin Taresoh akan beraksi dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan B.

Didin yang beraksi dalam perseorangan lelaki SH6 akan bertemu wakil India, Krishna Nagar pada perlawanan pertama sebelum bertemu Vitor Goncalves Tavares dari Brazil pada perlawanan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:59 PM