Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Prestasi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tahun ini mendapat pengiktirafan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas disenaraikan sebagai calon untuk merebut anugerah Pemain Paling Meningkat Naik 2020/2021.

Menurut BWF, kedua-dua wakil negara itu akan bersaing dengan pemain perseorangan wanita Thailand, Pornpawee Chochuwong selain pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara beregu lelaki dari Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang.

Pencapaian terbaik Zii Jia yang kini menghuni ranking nombor tujuh dunia adalah ketika dia merangkul gelaran pertama Seluruh England 2021, Mac lalu selain muncul naib juara Terbuka Hylo di Jerman, Ahad lalu.

Aaron-Wooi Yik pula menjadi penyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu selain muncul naib juara Terbuka Thailand, Januari lalu.

Sementara itu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dicalonkan dalam kategori Pemain Lelaki Terbaik Badminton Para. Liek Hou mencipta sejarah apabila menjadi pemain badminton pertama negara yang memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, September lalu.

Sebagai rekod, ia kali pertama sukan badminton dipertandingkan di Sukan Paralimpik. Liek Hou akan bersaing dengan lima lagi calon lain iaitu Pramoo Bhagat dari India, Kim Jungjun (Korea Selatan), Lucas Mazur (Perancis), Daiki Kajiwara (Jepun) dan Qu Zimo (China).

Kata BWF dalam satu kenyataan, pemenang anugerah bagi setiap kategori akan diumumkan dalam majlis yang akan diadakan sempena saingan Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia bermula Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 9:32 PM