LIEK Hou muncul juara di Jepun.
LIEK Hou muncul juara di Jepun.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas merangkul gelaran dunia buat kali ketujuh semalam jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou semakin bersemangat mempertahankan emas Sukan Paralimpik di Paris 2024 nanti.

Menurut pemain berusia 34 tahun itu, fokusnya sekarang beralih kepada persiapan bagi mengharungi pusingan kelayakan ke Paris.

"Buat masa sekarang fokus saya untuk melayakkan diri dulu ke Sukan Paralimpik Paris. Saya perlu buat perancangan rapi," katanya selepas menundukkan musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-14, 21-12 pada aksi final kategori SU5.

Ujar Liek Hou, apa yang paling penting buat masa ini ialah perlu mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan ketika latihan atau menyertai kejohanan.

"Ini disebabkan usia semakin meningkat proses pemulihan akan mengambil masa lama dan jika itu berlaku ia pastinya akan menjejaskan perancangan untuk layak ke Paris," katanya.

Semalam, Liek Hou meletakkan dirinya antara atlet Malaysia paling berjaya selepas merangkul gelaran juara buat kali ketujuh pada Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, Jepun.

Liek Hou yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum ini enam kali muncul juara dunia bermula pada edisi 2005 (Hsinchu, Taiwan), 2007 (Bangkok, Thailand), 2011 (Guatemala), 2013 (Dortmund, Jerman), 2015 (Stoke Mandeville, England) dan 2017 (Ulsan, Korea Selatan).

Bagaimanapun, dia terlepas peluang bagi meraih kejuaraan berganda pada edisi tahun ini apabila bersama pasangannya, Faris Ahmad Azri tewas di tangan gandigan Indonesia, Dheva-Hafizh Brilliansyah Prawiranegara 13-21, 12-21 dalam aksi final beregu lelaki.

Liek Hou sebelum ini lima kali muncul juara dunia dalam acara beregu lelaki. Pemain yang mendapat bimbingan jurulatih Indonesia, Nova Armada itu, berkata kejayaan memenangi emas Paralimpik Tokyo tahun lalu memberikan motivasi buat dirinya untuk mempertahankan kejuaraan dalam setiap kejohanan yang disertainya.

"Apa yang saya capai pada Kejohanan Dunia kali ini disebabkan kejayaan memenangi emas Paralimpik Tokyo, tahun lalu yang memberi motivasi kepada saya untuk terus bekerja keras dan menampilkan prestasi terbaik.

"Selepas Paralimpik Tokyo semangat saya untuk mempertahankan setiap gelaran yang saya menangi cukup tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 5:20 PM