LIEK Hou sudah muncul juara dunia sebanyak tujuh kali. FOTO Cheah Liek Hou
LIEK Hou sudah muncul juara dunia sebanyak tujuh kali. FOTO Cheah Liek Hou
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jika ada satu perkataan yang boleh menggambarkan mengenai jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, 'luar biasa' mungkin paling sesuai untuknya.

Apa tidaknya, pemain berusia 34 tahun itu sudah mengecapi segala-galanya dalam kariernya bersesuaian dengan statusnya selaku atlet istimewa negara.

Dia sudah muncul juara dunia tujuh kali bermula pada edisi 2005 (Hsinchu, Taiwan), 2007 (Bangkok, Thailand), 2011 (Guatemala), 2013 (Dortmund, Jerman), 2015 (Stoke Mandeville, England), 2017 (Ulsan, Korea Selatan) dan terbaru di Tokyo, Jepun.

Pemain nombor satu dunia itu menundukkan musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-14, 21-12 pada aksi final kategori SU5.

Kejayaan itu pasti cukup bermakna kepadanya selepas melakar sejarah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik, juga di Tokyo pada tahun lalu.

Bagi Liek Hou, segala kejayaan itu belum cukup memuaskan hatinya, sebaliknya dia kini kembali fokus untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Buat masa sekarang fokus saya adalah untuk melayakkan diri dulu ke Sukan Paralimpik Paris. Saya perlu buat perancangan rapi.

"Apa yang paling penting adalah saya perlu mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan ketika latihan atau menyertai kejohanan kerana dengan usia yang semakin meningkat proses pemulihan akan mengambil masa yang lama," katanya yang tercalon dalam kategori Ikon Sukan Paralimpik untuk Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Selain unggul dalam acara perseorangan, Liek Hou juga cemerlang dalam acara beregu apabila pernah muncul juara dunia lima kali.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:21 PM