BARISAN pemain futsal lelaki dan wanita Selangor meraikan kejayaan muncul juara futsal MAKSAK Malaysia. FOTO Ihsan MAKSAK
BARISAN pemain futsal lelaki dan wanita Selangor meraikan kejayaan muncul juara futsal MAKSAK Malaysia. FOTO Ihsan MAKSAK
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor meneruskan dominasi dalam Kejohanan Futsal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK Malaysia) apabila pasukan lelaki dan wanitanya menjuarai edisi kali ini.

Malah, ia juga adalah kemenangan kelima berturut-turut buat pasukan lelaki Selangor selepas menewaskan Terengganu dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Futsal KSL, di sini, dengan keputusan 3-2.

Jurulatih pasukan, Addy Shairullyzam Mohd Shafiee memuji persembahan anak buahnya yang beraksi cemerlang meskipun sedikit keletihan ekoran jadual yang padat.

"Pemain menunjukkan semangat yang baik walaupun keletihan sebab berhempas pulas dalam aksi separuh akhir di sebelah pagi.

"Tapi pemain berjaya mengikut arahan dan taktikal yang ditetapkan dan alhamdulillah kita berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kelima sejak 2016," katanya.

PASUKAN futsal lelaki muncul juara. FOTO Ihsan MAKSAK
PASUKAN futsal lelaki muncul juara. FOTO Ihsan MAKSAK

Bagi kategori wanita pula, pasukan Selangor muncul juara selepas menamatkan saingan di tangga pertama yang dijalankan menggunakan format liga sepusingan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia, Radin Hedly Shah berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kejohanan meskipun ia terpaksa dilangsungkan dalam suasana sederhana bagi mengikut SOP yang sudah ditetapkan ekoran pandemik Covid-19.

"Tahun ini kita anjurkan dengan SOP yang ketat di mana untuk acara final ini tidak semua pasukan dijemput sebaliknya hanya yang layak ke final saja.

"Malah, penyertaan pasukan juga sedikit berkurang di mana Kedah, Sabah dan Sarawak tak dapat sertai tahun ini kerana Covid-19.

"Tapi kami tetap berpuas hati dan paling penting objektif untuk merapatkan hubungan antara kakitangan kerajaan tercapai," kata Radin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:29 PM